✨ Mukadimah Ilmu Kalam: Kenapa Perlu Buktikan “Hakikat” Dahulu?
- Posted by iqflix92@gmail.com
- Categories Uncategorized
- Date March 24, 2026
- Comments 0 comment
Pembuktian hakikat sesuatu perkara (إثبات الحقائق )
Dalam tradisi ilmu kalam, para ulama telah menetapkan satu kaedah yang sangat penting sebelum membahaskan isu-isu besar seperti kewujudan Allah, kenabian dan hari akhirat. Mereka tidak terus masuk kepada perbahasan tersebut, sebaliknya memulakan dengan satu persoalan asas, iaitu pembuktian hakikat sesuatu perkara (إثبات الحقائق). Kaedah ini jelas dilihat dalam penulisan ulama Maturidiyyah sejak zaman Imam al-Maturidi, di mana hampir semua kitab mereka menjadikan perbahasan ini sebagai mukadimah.
Hal ini bukanlah sesuatu yang remeh, bahkan ia merupakan asas metodologi yang sangat penting. Ini kerana, jika dari awal lagi kita tidak bersetuju bahawa sesuatu itu mempunyai hakikat yang tetap, dan manusia mampu mencapainya , maka segala perbincangan selepas itu menjadi tidak bermakna. Bagaimana mungkin kita ingin berbincang tentang kewujudan Allah, kenabian atau mukjizat, sedangkan pihak yang diajak berbincang tidak mengiktiraf kewujudan hakikat itu sendiri? Dalam keadaan sebegini, dialog akan terhenti sebelum sempat berbincang perkara-perkara asas Aqidah yang lain.
Oleh itu, para ulama menekankan keperluan untuk membina satu “tapak bersama” ( Asas ) dalam perbincangan. Tapak ini ialah pengakuan bahawa alam ini benar-benar wujud, setiap sesuatu mempunyai hakikat tersendiri, dan akal manusia mampu untuk mengenali hakikat tersebut. Tanpa asas ini, segala hujah yang dibina akan runtuh kerana tiada titik persamaan untuk memulakan perbincangan.
Menariknya, pendekatan ini tidak hanya terhad kepada mazhab Maturidi sahaja. Mazhab Asy‘ariyyah juga mempunyai pendekatan tersendiri, iaitu memulakan perbahasan dengan isu “nazar” ( النظر ) atau proses berfikir. Mereka membincangkan sama ada akal mampu menghasilkan ilmu, serta membezakan antara ilmu yang bersifat daruri ( الضروري ) (tidak memerlukan dalil) dan ilmu nazari ( النظري )(memerlukan dalil dan pemikiran). Walaupun pendekatan ini berbeza dari sudut susunan, hakikatnya kedua-duanya saling melengkapi dalam membina kerangka pemikiran yang kukuh.
Dalam konteks ini, para ulama juga menyebut istilah “ahl al-haq” atau golongan yang berada di atas kebenaran. Istilah ini tidak semestinya merujuk kepada satu kelompok sahaja dalam semua keadaan. Dalam isu tertentu, ia mungkin merujuk kepada Ahlus Sunnah sahaja, namun dalam isu lain seperti pembuktian kewujudan hakikat, ia merangkumi hampir semua aliran pemikiran termasuk sebahagian ahli falsafah, kecuali golongan Sophist (السفسطائية).
Golongan yang dikenali sebagai Sophist (السفسطائية) yang mengambil pendirian menafikan kewujudan hakikat. Mereka mendakwa bahawa tidak ada sesuatu pun yang benar-benar tetap atau wujud secara hakiki. Pada pandangan mereka, semua yang kita anggap sebagai realiti hanyalah bayangan, persepsi atau sekadar andaian manusia semata-mata.
Sekilas pandang, kenyataan ini mungkin kelihatan mendalam dan bersifat falsafah. Namun apabila diteliti dengan lebih cermat, dakwaan ini sebenarnya mengandungi percanggahan yang jelas dari sudut logik (self-contradictory argument ) (kenyataan yang bercanggah dengan dirinya sendiri ). Hal ini kerana, apabila seseorang mengatakan “tiada hakikat”, dia sebenarnya sedang membuat satu kenyataan yang dianggap benar iaitu kenyataan ” Tiada hakikat sesuatu perkara ” itu sendiri . Mereka bukan sekadar bercakap kosong, bahkan cuba meyakinkan orang lain tentang kebenaran pandangannya itu. Hal ini jelas apabila dia berhujah di seminar-seminar , menulis dalam penulisan dan berusaha meyakinkan orang lain, yang semuanya menunjukkan bahawa mereka menganggap pandangannya mempunyai nilai kebenaran dan patut diterima. Usaha ini sendiri membuktikan bahawa dia bergantung kepada konsep kebenaran dan keyakinan, walaupun pada masa yang sama dia mendakwa bahawa hakikat itu tidak wujud. Keadaan ini akhirnya menzahirkan percanggahan dalam pemikiran mereka sendiri.
Di sinilah letaknya masalah utama. Jika kita bertanya kepadanya, “Adakah kenyataan ‘tiada hakikat’ itu benar?”, maka mereka tidak mempunyai banyak pilihan. Jika dia menjawab bahawa kenyataan itu benar, maka dia telah mengakui sekurang-kurangnya satu hakikat, iaitu kebenaran kenyataannya sendiri. Ini secara langsung bercanggah dengan dakwaannya yang menafikan semua hakikat. Sebaliknya, jika dia menjawab bahawa kenyataan itu tidak benar, maka dakwaannya tidak lagi mempunyai nilai sebagai hujah.
Percanggahan ini boleh dilihat dengan lebih jelas melalui beberapa contoh mudah. Sebagai contoh, apabila seseorang berkata “semua ini hanyalah ilusi”, kita boleh bertanya sama ada kenyataan itu sendiri merupakan ilusi atau kebenaran. Jika ia benar, maka wujudlah satu hakikat. Jika ia ilusi, maka tidak ada sebab untuk kita mempercayainya.
Kesimpulannya, penafian terhadap hakikat bukan sahaja tidak tepat, bahkan tidak mampu dipertahankan secara konsisten dari sudut logik. Setiap penafian sebenarnya adalah satu bentuk kenyataan, dan setiap kenyataan menuntut kebenaran. Maka secara tidak langsung, kewujudan hakikat tetap diakui, walaupun cuba dinafikan. Inilah yang dimaksudkan oleh para ulama dengan ungkapan “في نفيها ثبوتها”, iaitu dalam penafian itu sendiri terdapat pembuktian.
Golongan Sophist ini mempunyai pandangan yang menyimpang kerana mereka menafikan kewujudan hakikat, atau meragui kewujudannya, atau mendakwa bahawa hakikat itu tidak boleh dicapai oleh manusia. Namun, penolakan mereka sebenarnya mengandungi percanggahan. Apabila mereka mengatakan “tiada hakikat”, mereka sebenarnya telah membuat satu dakwaan yang dianggap benar, dan ini sendiri merupakan satu bentuk pengakuan terhadap kewujudan hakikat. Justeru, penafian mereka terbatal dengan sendirinya.
Secara umumnya, golongan yang menyimpang dalam isu ini boleh dibahagikan kepada tiga: pertama, mereka yang menafikan kewujudan hakikat secara mutlak; kedua, mereka yang berada dalam keadaan ragu-ragu; dan ketiga, mereka yang mengakui kewujudan hakikat tetapi menafikan kemampuan manusia untuk mencapainya. Ketiga-tiga pandangan ini ditolak oleh para ulama Ahlus Sunnah.
🧠 Tiga Aliran Sophist (السفسطائية) dalam Isu Hakikat:
Dalam perbahasan ilmu kalam, khususnya pada bahagian mukadimah, para ulama memberi perhatian yang besar terhadap isu إثبات الحقائق (pembuktian hakikat). Hal ini kerana, sebelum membahaskan persoalan besar seperti kewujudan Allah, kenabian dan hari akhirat, perlu terlebih dahulu dipastikan bahawa:
Hakikat sesuatu itu wujud dan boleh diketahui oleh manusia.
Tanpa asas ini, seluruh binaan perbahasan akidah akan kehilangan tapaknya.
Dalam konteks ini, para ulama membahaskan satu kelompok yang dikenali sebagai السفسطائية (Sofis), iaitu golongan yang menolak atau meragui hakikat. Mereka tidak berada dalam satu bentuk sahaja, bahkan terbahagi kepada tiga aliran utama: العنادية، العندية، واللاأدرية.
1. العنادية (al-‘Inādiyyah): Penafian Hakikat Secara Mutlak
Aliran pertama ialah golongan yang menafikan kewujudan hakikat secara keseluruhan. Mereka tidak mengiktiraf sebarang realiti yang tetap, bahkan menolak setiap dakwaan yang dikemukakan kepada mereka.
Segala bentuk kenyataan seperti “alam ini wujud”, “manusia berbeza antara satu sama lain”, akan dinafikan sepenuhnya. Oleh itu, aliran ini dinamakan al-‘Inādiyyah kerana sikap mereka yang berterusan dalam penafian dan penentangan.
Para ulama menjawab aliran ini dengan hujah yang terkenal:
“في نفيها ثبوتها” (Pada penafian itu sendiri terdapat pembuktian).
Maksudnya, apabila mereka menyatakan “tiada hakikat”, mereka sebenarnya telah membuat satu kenyataan yang dianggap benar. Maka, secara tidak langsung mereka telah mengakui sekurang-kurangnya satu hakikat, iaitu dakwaan mereka sendiri. Hal ini menunjukkan berlakunya percanggahan dalaman dalam pemikiran mereka.
2. العندية (Al-‘Indiyyah): Relativisme Hakikat
Aliran kedua tidak menafikan hakikat secara mutlak, tetapi menjadikannya relatif kepada individu. Mereka berpendapat bahawa kebenaran sesuatu perkara bergantung kepada sudut pandang masing-masing.
Sebagai contoh, jika seseorang menyatakan bahawa alam ini berubah, mereka akan menjawab: “Itu benar pada pandangan kamu, bukan pada pandangan saya.” Dengan kata lain, sesuatu hakikat itu tidak bersifat tetap, tetapi berubah mengikut kepercayaan dan persepsi individu.
Pendekatan ini mempunyai persamaan yang jelas dengan aliran relativisme dalam falsafah moden, khususnya dalam bidang etika ( اخلاق ) dan epistemologi, di mana kebenaran dianggap bergantung kepada konteks, budaya dan individu.
Dalam menjawab aliran ini, para ulama berbeza pandangan. Sebahagian berpendapat bahawa hujah “في نفيها ثبوتها” masih boleh digunakan, kerana golongan ini tetap membuat satu kenyataan umum bahawa “semua kebenaran adalah relatif”, yang secara tidak langsung menjadi satu bentuk hakikat tetap.
Namun, sebahagian ulama lain berpandangan bahawa hujah ini kurang berkesan, kerana golongan ini boleh mengelak dengan mengatakan bahawa prinsip relativisme itu sendiri juga bersifat relatif. Hal ini menjadikan perbahasan dengan mereka lebih kompleks dan berlarutan.
3. اللاأدرية (Al-Lā Adriyyah): Sikap Skeptik
Aliran ketiga ialah golongan yang memilih untuk tidak membuat sebarang keputusan terhadap hakikat. Mereka tidak menafikan secara mutlak, tetapi juga tidak mengakui. Sikap mereka ialah sentiasa berada dalam keadaan ragu-ragu.
Dalam setiap persoalan, jawapan mereka adalah:
“Mungkin ya, mungkin tidak, saya tidak pasti.”
Pendekatan ini menyerupai aliran skeptisisme dan agnostisisme dalam falsafah moden, di mana seseorang enggan membuat penetapan terhadap kebenaran sesuatu perkara, termasuk dalam isu-isu metafizik seperti kewujudan Tuhan.
Golongan ini merupakan antara yang paling sukar untuk dibahaskan, kerana mereka tidak memberikan asas yang jelas untuk perbincangan. Hujah yang digunakan terhadap aliran pertama juga sukar diaplikasikan di sini, kerana mereka tidak menetapkan sebarang pendirian yang boleh dicabar.
Pendekatan Ulama dalam Menghadapi Ketiga-tiga Aliran
Para ulama tidak hanya menggunakan hujah teoritikal, bahkan turut menekankan pendekatan praktikal. Mereka menunjukkan bahawa dalam kehidupan seharian, golongan-golongan ini secara tidak langsung mengakui kewujudan hakikat.
Sebagai contoh:
- Mereka mengelakkan bahaya seperti binatang buas atau racun
- Mereka mencari manfaat seperti makanan dan minuman
- Mereka bertindak balas terhadap kesakitan dan keseronokan
Semua ini menunjukkan bahawa dalam praktiknya, mereka mengiktiraf perbezaan antara yang memudaratkan dan yang bermanfaat, antara yang wujud dan yang tidak. Hal ini menjadi bukti bahawa pengakuan terhadap hakikat sebenarnya telah tertanam dalam fitrah manusia.
Kesimpulan
Perbahasan tentang إثبات الحقائق bukan sekadar isu falsafah semata-mata, tetapi merupakan asas kepada keseluruhan binaan ilmu akidah. Tiga aliran utama Sofis — العنادية، العندية، واللاأدرية — masing-masing mewakili bentuk penolakan yang berbeza terhadap hakikat.
Namun, kesemua aliran ini akhirnya berhadapan dengan kelemahan yang sama, iaitu percanggahan dalaman dan ketidakmampuan untuk menafikan realiti secara konsisten dalam kehidupan seharian.
Oleh itu, pendirian Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah menetapkan bahawa:
Hakikat itu wujud, bersifat tetap, dan dapat diketahui oleh manusia melalui akal dan dalil yang sahih.
Inilah asas yang menjadi titik tolak kepada seluruh perbahasan dalam ilmu kalam dan akidah Islam.
